Tuesday, September 15, 2009

Cuti Umum 16 september bagi SABAH



ADA pihak berhujah bahawa Hari Kebangsaan negara ini sepatutnya 16 September kerana pada tarikh itu, Malaysia ditubuhkan. Ada pula pihak yang menyatakan bahawa apa salahnya 31 Ogos disambut sebagai Hari Kemerdekaan bagi seluruh Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah walaupun kedua-dua negeri itu merdeka pada 16 September.

Ini kerana seperti di Amerika Syarikat tidak semua negeri-negerinya mencapai kemerdekaan pada hari yang sama. Tarikh 4 Julai bagi kemerdekaan AS adalah untuk seluruh negara itu sedangkan hakikatnya hanya 13 negeri daripada 52 AS yang mencapai kemerdekaan pada tarikh itu. Negeri-negeri lain mencapai kemerdekaan pada tarikh-tarikh dan tahun-tahun kemudian.

Begitu juga dengan Indonesia yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945 tetapi pada waktu itu tidak semua wilayah di negara itu yang dapat mencapainya.

Papua yang merdeka kemudian untuk menyertai Indonesia. Maka tidak menjadi persoalan sekiranya Hari Kemerdekaan bagi seluruh Malaysia terus kekal pada 31 Ogos kerana ia merupakan amalan sejagat.

Ada pula mencadangkan supaya kedua-dua hari itu dirayakan dengan Hari Kemerdekaan untuk seluruh Malaysia pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

Anwar Ibrahim mencadangkan perayaan kemerdekaan dimulakan pada 31 Ogos dan sampai kemuncaknya pada 16 September, dengan kedua-dua hari itu diisytiharkan sebagai hari cuti umum.

Sebenarnya untuk beberapa tahun lamanya, Malaysia telah merayakan bulan kemerdekaan. Tetapi tidak bagi tahun ini.

Perayaan bulan kemerdekaan itu bermula pada 17 Ogos hingga 16 September dengan 31 Ogos di tengah-tengahnya sebagai hari kemuncak. Tarikh 17 Ogos dipilih sebagai hari permulaan perayaan kemerdekaan kerana untuk mencukupkan sebulan sampai pada tarikh 16 September.

Tetapi kebetulan pula 17 Ogos adalah tarikh Hari Kemerdekaan Indonesia. Tarikh 17 Ogos pernah diraikan oleh nasionalis-nasionalis Melayu di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan dahulu.

Ini kerana dalam perjuangannya nasionalis-nasionalis Melayu baik dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum perang mahupun Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas perang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dalam kerangka percantuman dengan Indonesia.

Revolusi Indonesia menjadi inspirasi bagi nasionalis-nasionalis Melayu dan penubuhan PKMM itu bermodelkan kepada Partai Nasional Indonesia (PNI) pimpinan Sukarno. Tetapi hakikatnya pada detik-detik Jepun menyerah diri, rancangan pimpinan KMM yang diketuai oleh Ibrahim Yaacob adalah untuk mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu serentak dengan Indonesia dengan menjadikannya sebahagian daripada negara itu.

Untuk itu, pejuang-pejuang nasionalis yang bersenjata mendapat latihan dari pihak Jepun bagi menghalang kembalinya penjajah Inggeris dan Belanda ke Nusantara di bawah pasukan Pembela Tanah Air (PETA). Untuk menyelaraskan perkara ini satu pertemuan antara Ibrahim Taacob dan Sukarno berlangsung di Taiping sekembalinya pemimpin Indonesia itu dari Jepun yang sedang berkira-kira untuk berundur dari Nusantara.

Namun begitu, apabila Jepun secara tiba-tiba menyerah kalah ekoran pengguguran bom atom, pemuda-pemuda KMM dalam PETA tidak bersedia untuk mengambil alih, sebaliknya mereka menjadi buruan Bintang Tiga atas tuduhan menajdi tali barut Jepun. Jadi apabila Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos, Tanah Melayu dikuasai oleh Bintang Tiga sebelum Pentadbiran Tentera British (BMA) datang mengambil alih bagi meneruskan penjajahan Inggeris.

Bintang Tiga adalah nama panggilan Tentera Malaya Anti-Jepun (MPAJA), sebuah sayap tentera Parti Komunis Malaya (PKM).

Lambang Bintang Tiga itu adalah untuk mewakili tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Namun PKM yang ditubuhkan di Kuala Pilah pada tahun 1930 didominasi oleh kaum Cina kerana pada asalnya ia pun adalah Parti Komunis Nanyang yang merupakan sayap kiri Parti Nasionalis China (Kuomintang). Tetapi di Tanah Melayu, tanpa penyertaan orang Melayu, tidak ada parti politik yang boleh berjaya.

Untuk itu seorang ahli Parti Komunis Indonesa, Mokhtaruddin Lasso mengusahakan penubuhan PKMM. Dari awal, PKMM dan pejuang-pejuang nasionalis kiri Melayu menyambut 17 Ogos sebagai hari kemerdekaan dan aspirasi yang hendak dicapai mereka untuk Tanah Melayu. Ketika itu, orang Cina di Tanah Melayu akan menyambut 10 Berganda atau Double Ten, 10 Oktober iaitu Hari Kebangsaan China bagi meraikan penubuhan Republik China pimpinan Sun Yat Sen.

Kaum India di Tanah Melayu pula meraikan Hari Kemerdekaan India pada 10 Ogos. Seorang pejuang kemerdekaan India yang pro-Jepun, Chandra Bose adalah popular di kalangan nasionalis kiri Melayu hinggakan salah seorangnya, Abdullah Thani Raja Kecil mengambil namanya untuk dijadikan nama perjuangannya, Ahmad Boestamam daripada Boes dan Tamam, seorang lagi pejuang nasionalis Indonesia.

Sebelum merdeka di Tanah Melayu, hari kebesaran yang disambut adalah hari-hari keputeraan sultan dan raja masing-masing di negeri-negeri Melayu. Sementara di negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, hari kebesarannya adalah hari keputeraan raja England.

Akhirnya Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957 dengan Indonesia menjadi antara negara pertama mengiktirafnya. Tetapi British tidak senang dengan Sukarno yang semakin pro-komunis. Indonesia mula berminat terhadap Sarawak, Brunei dan Sabah yang disifatkannya sebagai Kalimantan Utara.

Bagaimanapun, apa yang dibimbangi British ialah kalau-kalau Singapura jatuh ke tangan komunis dan terus menjejaskan kepentingannya di rantau ini. Singapura mesti diselamatkan dan caranya ialah memerdekakan pulau itu dalam Tanah Melayu. Tetapi Tunku Abdul Rahman bimbang kemasukan Singapura akan mengubah komposisi penduduk negara ini.

Maka cadangannya ialah mencantumkan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Sabah dalam satu entiti. Nama yang dipilih ialah Malaysia. Negara ini lebih besar dan seolah-olah ia menjadi Indonesia kedua, iaitu alternatif kepada Indonesia yang sudah condong ke kiri.

Bagi Sukarno, Malaysia merupakan projek penjajah untuk mengepungnya. Tarikh sasaran bagi penubuhan Malaysia ialah 31 Ogos 1963. Tetapi apabila tarikh itu sampai dan perbincangan tidak selesai, ia ditangguhkan hingga kepada 16 September 1963.

Andai kata dahulu Malaysia ditubuhkan pada 31 Ogos maka tidak ada pertikaian tarikh ini.

Namun Lee Kuan Yew mengisytiharkan Singapura merdeka pada 31 Ogos 1963. Jadi selama dua minggu Singapura menjadi merdeka sebelum bergabung dengan Malaysia.

Seperti negeri-negeri lain di Malaysia, Singapura menyambut hari kebangsaan pada 31 Ogos pada tahun 1964. Namun pada 9 Ogos 1965, negeri itu dikeluarkan daripada Malaysia dan sejak itu ia menyambut tarikh itu sebaqgai hari kebangsaan.




Artikel Terkait



0 comments:

Post a Comment