Monday, December 14, 2009

Petani dan pekebun kecil di Pulau Sebatik Tawau Kecewa

TAWAU, 8 Dis (Bernama) -- Petani dan pekebun kecil di Pulau Sebatik kecewa dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan menyediakan jeti pendaratan sehingga menyukarkan mereka memasarkan hasil pertanian mereka ke Tawau.

Jurucakap golongan petani berkenaan Affendi S. Mohamad berkata keadaan itu sudah berlarutan lebih setahun lalu selepas Majlis Perbandaran Tawau (MPT) meminta mereka menjalankan kerja-kerja pemunggahan hasil pertanian dari Batu-Batu ke Log Pond, jarak sejauh tujuh kilometer.

"Sebelum ini kami patuh kepada arahan MPT supaya kami mendaratkan hasil pertanian di Log Pond dan bukannya di Batu-Batu yang terletak dalam kawasan bandar dan telah kami gunakan lebih 30 tahun lalu.

"Kami patuh kerana menyokong kempen MPT untuk mengindah dan menjaga kebersihan bandar Tawau.

"Bagaimanapun, kami kecewa kerana MPT tidak menyediakan jeti pendaratan sehingga ada antara kami terpaksa memanjat tebing sambil memikul barangan ketika membuat kerja pemunggahan dari dalam bot atau perahu," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya ketika arahan perpindahan dikeluarkan, MPT memberi jaminan akan menyediakan kemudahan pendaratan selesa namun selepas setahun keadaan masih tidak berubah malah lebih menyedihkan.

Affendi berkata setiap hari tidak kurang daripada 30 bot atau perahu yang membawa keluaran hasil pertanian dari Pulau Sebatik tiba di Log Pond sama ada untuk dipasarkan terus atau untuk dihantar ke kilang untuk diproses.

Katanya sebelum ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bermurah hati membenarkan petani mendaratkan hasil pertanian di jeti LKIM berhampiran namun jeti berkenaan kini ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Keadaan berkenaan, katanya, memaksa petani memohon jasa baik nelayan kecil di Log Pond untuk dibenarkan menggunakan jeti mereka untuk memunggah barangan dari bot atau perahu setiap hari.

dr;Bernama.com

Artikel Terkait



0 comments:

Post a Comment